JOHOR AKAN BAWA CADANGAN PELAKSANAAN ART KEPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor (tengah) hadir di Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama Antara Malaysia dan Singapura Melalui Tambak Johor, hari ini. | Foto MDJ Imran Razib

 

Kerajaan Negeri akan mengangkat kertas cadangan mengenai Autonomous Rail Rapid Transit (ART), sistem pengangkutan transit berpandu tanpa rel bagi pengangkutan bandar kepada Kerajaan Persekutuan untuk diperhalusi pelaksanaannya di negeri ini.

 

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sudah memperkenankan Kerajaan Negeri untuk membawa cadangan tersebut ke peringkat Persekutuan.

 

Agenda pemerkasaan sektor pengangkutan awam terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi mengatasi kesesakan trafik terutama di bandar raya Johor Bahru dan memastikan kelancaran pintu sempadan negara di negeri ini.

 

Antara inisiatif bagi menjayakan agenda berkenaan juga adalah penggunaan bas elektrik sebagai mod pengangkutan yang bukan sahaja menyelesaikan isu kesesakan malah menyokong kecekapan tenaga, mobiliti hijau dan kelestarian alam sekitar.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama Antara Malaysia dan Singapura Melalui Tambak Johor oleh Handal Indah Sdn. Bhd. (Handal Indah) di Mall of Medini, hari ini.

 

Tiga laluan disediakan melibatkan Causeway Link CW3 dan CW4 (Johor Bahru ke Jurong East) serta CW6 (Johor Bahru ke Boon Lay). Handal Indah turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas penyediaan perkhidmatan bas elektrik rentas sempadan pertama di Malaysia.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor