MAHU PERLUAS TAJ, LAHIR RAMAI KHATAM AL-QURAN AWAL USIA


Tadika Agama Johor (TAJ) baharu akan dibangunkan di daerah Tangkak bagi menampung permintaan dan keperluan ibu bapa di daerah tersebut. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mewujudkan Tadika Agama Johor (TAJ) baharu di daerah Tangkak bagi menampung permintaan dan keperluan ibu bapa menghantar anak masing-masing ke prasekolah berkenaan untuk mendapatkan pendidikan al-Quran serta pendidikan Islam di peringkat awal usia.

 

Diwujudkan sejak tahun 2001 dan berada di bawah seliaan Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), TAJ menjadikan Program Pintar Al-Quran sebagai inti pati penting bagi melahirkan anak Johor yang celik dan berjaya khatam al-Quran seawal usia 6 tahun.

 

Dengan kejayaan dan keberkesanan TAJ melahirkan ramai anak-anak yang berjaya khatam al-Quran seawal usia kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan setiap tahun, Kerajaan Negeri berhasrat memperluas seterusnya menambah lebih banyak tadika berkenaan di negeri ini.

 

Terdahulu, berlangsungnya Majlis Khatam Al-Quran TAJ Peringkat Negeri Johor Kali Ke-14 Tahun 2024M / 1446H yang disertai oleh 5,488 murid dari seluruh negeri ini, di mana 848 daripadanya berjaya mengkhatam 30 juzuk al-Quran dalam Program Pintar Al-Quran di Stadium Arena, Kompleks Sukan EduCity.

 

Telah disempurnakan perasmian oleh YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, acara tahunan bagi meraikan murid yang berjaya khatam al-Quran itu merupakan antara komitmen Kerajaan Negeri memperkukuhkan syiar Islam di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor