MAINJ SERAH BANTUAN PENDIDIKAN RM15.4 JUTA KEPADA PELAJAR JOHOR


Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyerahkan Skim Bantuan Pendidikan Tahun 2025 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjumlah keseluruhan RM15,491,800.

 

Daripada jumlah berkenaan, JPNJ menerima RM11,931,200 daripada MAINJ manakala JAINJ pula sebanyak RM3,560,600 melibatkan 77,459 penerima manfaat dengan bantuan disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk diagihkan kepada setiap pelajar.

 

Skim bantuan pendidikan MAINJ itu terdiri daripada bantuan tunai berjumlah RM200 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah manakala set pakaian sekolah yang dijahit oleh asnaf dengan kerjasama Waqaf An-Nur untuk sekolah agama bagi 17,803 pelajar.

 

Pada tahun ini, MAINJ juga memberikan sumbangan kebajikan sekolah secara ‘one-off’ dan agihan manfaat wakaf kepada Sekolah Kebangsaan (P) Bandar Tinggi berjumlah RM15,000 diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Yassin, Sekolah Menengah Agama Jawahir Al-Ulum dan Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai masing-masing dengan RM10,000.

 

MAINJ turut menyediakan bantuan pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT), komputer riba, tambang melanjutkan pengajian ke luar negara, dermasiswa bagi menyambung pendidikan dalam bidang pengajian Islam selain pinjaman Qard Hassan yang terbuka kepada pelajar bidang pergigian, perubatan dan farmasi di Mesir dan Jordan.

 

Selain itu, MAINJ memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi bantuan perlindungan takaful kepada 341 pelajar di Mesir dan Jordan di bawah penajaan Skim Bantuan Dermasiswa.

 

Terdahulu, berlangsungnya Majlis Pelancaran Bantuan Pendidikan dan Majlis Pertukaran MoU Bersama PTPTN Bagi Tahun 2025 yang dihadiri oleh YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

 

Turut hadir, YB Dato’ Dr. Nooh Gadot, Penasihat MAINJ; YB Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor; YBhg. Tuan Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ dan YBrs. Puan Mastura Mohd Khalid, Ketua Pegawai Operasi PTPTN.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor