MALAYSIA-SINGAPURA JALANKAN KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN SEZ
Malaysia dan Singapura sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan Zon Ekonomi Khas (SEZ) untuk mengenal pasti perkara yang perlu diberikan tumpuan pada zon berkenaan pada masa akan datang.
Susulan daripada itu, kedua-dua negara dijangka mengadakan perbincangan sebelum menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai SEZ pada Januari 2024.
Malaysia dan Singapura menzahirkan harapan penubuhan SEZ dapat direalisasikan sekali gus melancarkan pergerakan barangan dan perkhidmatan, manusia serta meningkatkan ekosistem Wilayah Pembangunan Iskandar.
Terdahulu, berlangsungnya sidang media bersama antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong sempena Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10.
Sesi pemukiman ini menterjemahkan komitmen yang kuat Malaysia dan Singapura untuk berbincang seterusnya meningkatkan kerjasama dua hala serta mendepani isu yang menjadi perhatian bersama.
Antara isu lain yang dibincangkan adalah berkaitan sempadan negara, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, ruang udara, perjanjian air serta tenaga boleh diperbaharui.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor