MANGSA BANJIR DI PPS TERUS BERKURANGAN


Terkini PPS Dewan Komuniti Tasek yang ditutup jam 1 petang tadi, menjadikan hanya tinggal satu sahaja PPS yang masih beroperasi di Segamat.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Segamat ditutup setakat jam 2 petang, susulan banjir yang semakin pulih di daerah tersebut.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, PPS tersebut adalah Dewan Komuniti Tasek yang ditutup jam 1 petang tadi.

 

Menurutnya, penutupan itu menjadikan hanya tinggal satu sahaja PPS yang masih beroperasi di Segamat iaitu Balairaya Kampung Seberang Batu Badak, bagi menempatkan 26 orang daripada sembilan mangsa.

 

“Selain itu, jumlah PPS yang masih beroperasi di Batu Pahat tidak berubah iaitu enam. Tetapi, berlaku sedikit penyusutan jumlah mangsa di PPS.

 

“Angka terkini adalah 871 orang daripada 246 keluarga berbanding 876 orang daripada 248 keluarga, data jam 12 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, keseluruhan jumlah mangsa banjir Johor terkini adalah 897 orang daripada 255 keluarga di tujuh PPS.

 

Ia sekali gus menunjukkan trend penurunan berbanding laporan jam 12 tengah hari iaitu 924 orang daripada 263 keluarga.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan daerah Segamat.

 

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran pula melpaorkan sub-lembangan Sungai Bekok di Batu Pahat berada pada aras Bahaya dan menunjukkan trend tidak berubah.

 

Manakala dua laluan masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Tanah Abang / Selekoh Pertama Tanah Abang (J228) di Mersing kerana banjir, serta Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai berikutan Tanah Runtuh.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor