SULTAN JOHOR : FATWA TIDAK BERCANGGAH DENGAN KONSEP ‘BANGSA JOHOR’


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

ISKANDAR PUTERI — Kepelbagaian kaum dan agama di Johor akan sentiasa diiktiraf dan dihormati, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menegaskan kembali konsep Bangsa Johor, hari ini.

 

Baginda Tuanku Sultan bertitah, fatwa dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) semalam, sama sekali tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama di bawah konsep tersebut.

 

“Fatwa itu hanya melarang orang Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain. Ia adalah garis panduan untuk mereka. Mereka masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain.

 

“Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ia adalah jalan dua hala. Kita mesti peka terhadap kewajipan agama masing-masing untuk berbaik-baik,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

 

Sultan Ibrahim bertitah, semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan.

 

Justeru titahnya, rakyat di negara ini harus memberi tumpuan kepada nilai-nilai tersebut dan bukannya kepada perbezaan kaum atau agama.

 

“Saya harap dengan penjelasan ini, kita dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai ‘fatwa’ baharu itu kerana ia hanya menjelaskan perkara yang dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.

 

“Jika masih keliru, sila berjumpa Mufti Negeri untuk penjelasan lanjut,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan kerajaan negeri bakal mewartakan fatwa berhubung orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam, dalam masa terdekat.

 

Berdasarkan fatwa tersebut, umat Islam dilarang menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam.

 

Bagaimanapun, meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah dibenarkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor