EXCO KERAJAAN JOHOR KEMUKA 5 PERKARA KEPADA KPKT


EXCO Kerajaan Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor bersama PKPJ dan SUKJ Bahagian Kerajaan Tempatan mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, semalam | Sumber gambar Facebook Mohd Jafni Md Shukor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengemukakan lima perkara melibatkan soal perumahan rakyat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, ke peringkat persekutuan khususnya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

 

Lima perkara tersebut adalah pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR), pembangunan Rumah Mampu Milik Johor, permohonan penyelenggaraan PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK), penyelesaian projek sakit dan terbengkalai serta permohonan peruntukan 16 PBT Johor.

 

Kesemua perkara itu disampaikan menerusi kunjungan hormat EXCO Kerajaan Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor kepada Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, semalam.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor itu berkata, kunjungan tersebut turut melibatkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Kerajaan Tempatan (SUKJKT).

 

“Pasukan saya (PKPJ dan SUKJKT) turut berkongsi pandangan dan idea tentang bentuk pembangunan PPR di Negeri Johor terutamanya PPR di Larkin yang dibawa untuk permohonan sejak Ogos tahun lepas oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor kepada KPKT.

 

“Dalam sesi kunjungan hormat ini juga, mewakili kerajaan negeri saya menzahirkan komitmen untuk berkerjasama secara rapat dan agresif dalam Taskforce Rumah Sakit dan Terbengkalai di Negeri Johor juga perkara-perkara lain,” kata beliau di Facebook rasminya, semalam.

 

Selain itu, Mohd Jafni memberitahu kepada Timbalan Menteri mengenai penubuhan Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Semakan (PDRC) di Negeri Johor dalam memastikan pembinaan RMMJ tercapai dan masalah perumahan lain diselesaikan secara bersepadu mahupun cepat.

 

“Hasil kunjungan hormat ini akan ada berita baik untuk rakyat Johor dalam sedikit masa lagi. Kerjasama sepadu antara Kerajaan Johor dan KPKT pastinya akan memudahkan banyak perkara demi rakyat,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor