MANGSA BANJIR DI PPS TERUS MENYUSUT


Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Johor, terus menunjukkan trend penyusutan setakat jam 8 pagi ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Johor, terus menunjukkan trend penyusutan setakat jam 8 pagi ini.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah terkini mangsa adalah 670 orang daripada 188 keluarga di Batu Pahat dan Segamat.

 

Menurutnya, data tersebut berbeza dengan jumlah mangsa jam 12 tengah malam tadi, iaitu 692 orang daripada 194 keluarga di dua daerah terbabit.

 

“Batu Pahat merekodkan lima PPS masih dibuka bagi menempatkan 644 penduduk daripada 179 keluarga. Manakala Segamat pula, terdapat satu PPS beroperasi untuk 26 orang daripada sembilan keluarga.

 

“Trend penurunan ini menjurus kepada jumlah mangsa di Batu Pahat. Sementara di Segamat, data terkini tidak menunjukkan perubahan dengan jam 12 tengah malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan tiada kematian yang direkodkan sepanjang bencana banjir ini.

 

Selain itu, tiada PPS baharu yang dibuka dan beroperasi serta ditutup setakat jam 8 pagi ini, dan angka keseluruhan masih tidak berubah iaitu enam PPS.

 

Setakat ini, hanya Jalan Sungai Tiram – Ulu Tebrau (J08) di Kulai ditutup untuk semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh dan pemantauan dilakukan dari masa ke masa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor