KERAJAAN JOHOR KOMITED SEDIA PRASARANA PELABURAN KONDUSIF


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat fasiliti Pusat Kecemerlangan Biocon Sdn Bhd (Biocon) di Iskandar Puteri, di sini | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus komited menyediakan prasarana pelaburan yang kondusif kepada pelabur untuk terus berkembang di negeri ini.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi setelah melawat fasiliti Pusat Kecemerlangan Biocon Sdn. Bhd. (Biocon) di Iskandar Puteri, di sini, baru-baru ini.

 

“Saya difahamkan Biocon merupakan antara gergasi industri pembuatan biofarmaseutikal dunia, dan mereka telah melabur sejumlah USD250 juta (RM1 bilion) untuk pembinaan fasiliti di Johor.

 

“Dengan pelan pembangunan seterusnya, Biocon dijangka akan menjadi syarikat biofarmaseutikal bagi penghasilan insulin terbesar di dunia,” kata beliau yang telah dimaklumkan syarikat tersebut mempunyai kira-kira 800 pekerja sekali gus masih kekurangan 120 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

 

Justeru, Onn Hafiz berkata, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han telah diminta mengadakan kerjasama strategik bersama universiti tempatan serta pihak Biocon.

 

Kata beliau, langkah itu bagi melihat mekanisme bagi mengisi kekosongan tenaga kerja berkemahiran tinggi tersebut dengan segera dengan keutamaan kepada Bangsa Johor.

 

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyediakan prasarana dan infrastruktur terbaik bagi memungkinkan syarikat gergasi seperti Biocon dapat terus berkembang maju, selain menarik minat lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara ke negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor