MANGSA BANJIR JOHOR LIMA PPS MENURUN


Mangsa banjir Negeri Johor terus menunjukkan penurunan kepada 355 orang daripada 99 keluarga di lima PPS setakat jam 4 petang.

 

ISKANDAR PUTERI — Mangsa banjir Negeri Johor terus menunjukkan penurunan kepada 355 orang daripada 99 keluarga setakat jam 4 petang.

 

Kesemua mangsa masih mendapatkan perlindungan dan ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Batu Pahat dan Segamat.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, penurunan jumlah mangsa banjir itu amat ketara berbanding 420 orang daripada 119 keluarga dalam laporan jam 12 tengah hari tadi.

 

“Sebanyak empat PPS masih beroperasi di Batu Pahat yang menempatkan 329 orang daripada 90 keluarga. Manakala sebuah PPS pula beroperasi di Segamat bagi menempatkan 26 orang daripada sembilan keluarga.

 

“Tiada kematian direkodkan dalam kejadian bencana banjir setakat ini. Selain itu, tiada PPS yang baru dibuka dan tiada PPS yang ditutup setakat jam 4 petang,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan, di sini.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap Waspada melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi sehingga esok.

 

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan sub-lembangan Sungai Bekok berada pada aras Bahaya, manakala Sungai Segamat (Segamat Kecil) di tahap Amaran.

 

Manakala Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh.

 

#Media DigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor