MDKT RAIH ANUGERAH SEMPENA ASEAN TOURISM FORUM 2023


Majlis Daerah Kota Tinggi menerima anugerah bagi kategori ASEAN Public Toilet Standard (2023-2024) bagi Pantai Awam Teluk Mahkota, Tanjung Sedili sempena ASEAN Tourism Forum 2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) menerima pengiktirafan sempena ASEAN Tourism Forum 2023 di Yogyakarta, Indonesia pada 2 hingga 5 Februari lalu.

 

MDKT diwakili oleh Yang Dipertuanya, Mohd Fahmy Yahya telah menerima anugerah bagi kategori ASEAN Public Toilet Standard (2023-2024) bagi Pantai Awam Teluk Mahkota, Tanjung Sedili.

 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing yang mengetuai delegasi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia ke ASEAN Tourism Forum 2023.

 

Bercakap mengenai pengiktirafan tersebut, Mohd Fahmy berkata, MDKT merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan semua pihak terlibat atas pengiktirafan yang diterima.

 

“MDKT mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Johor khususnya buat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

 

“(Selain itu) K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor dan tidak dilupakan juga kepada Datin Paduka Hazlina Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi yang sentiasa memberi sokongan, galakan dan pandangan demi kelestarian daerah Kota Tinggi,” katanya kepada Media Digital Johor, hari ini.

 

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Majlis berserta seluruh warga kerja PBT berkenaan yang telah memberikan sumbangan secara langsung atau tidak langsung selain sentiasa berganding-bahu untuk merangkul anugerah dan penghargaan di peringkat ASEAN.

 

“Sinergi antara MDKT bersama pihak Tourism Johor juga amat diharapkan, dalam usaha untuk membantu setiap gerak tindakan, serta mempromosikan kami hingga ke peringkat MOTAC. Selepas ini, jika ada pencalonan penganugerahan daripada MOTAC, MDKT bersedia untuk dicalonkan dalam apa jua kategori berkaitan.

 

“Pada masa sama, saya berharap warga kerja MDKT akan terus bekerja keras untuk meraih lebih banyak pengiktirafan dan anugerah, selain bersama-sama menyediakan kemudahan yang selesa kepada rakyat sekali gus menyahut inisiatif kerajaan dalam menjayakan program Johor Bersih.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor