MENTERI BESAR JOHOR LAWAT SEKOLAH, TINJAU KEMUDAHAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini, mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah sekitar Johor Bahru, hari ini | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini, mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah bagi meninjau keadaan dan kemudahan di sekolah yang dikunjungi.

 

Sekolah yang dilawati adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) St. Joseph, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Joseph, SK (P) Bandar Tinggi dan Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea.

 

Onn Hafiz berterima kasih kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana meluluskan peruntukan RM500,000 bagi kerja membaik pulih struktur asal bangunan SK (P) Bandar Tinggi yang berusia 100 tahun, baru-baru ini.

 

“Ada juga keperluan untuk sekolah ini digazetkan sebagai antara warisan Johor, selepas mengambil kira sejarah serta sumbangannya dalam melahirkan modal insaniah untuk negeri ini.

 

“Dengan cara itu, sekolah ini boleh mendapat peruntukan dan keutamaan yang amat diperlukan bagi kerja-kerja membaik pulih infrastruktur dan pendawaian,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga akan meyalurkan peruntukan RM10,000 kepada SJKC St. Joseph iaitu untuk kerja pentadbiran dan penggantian papan tanda sekolah yang usang.

 

Selain itu, katanya, pentadbiran SK St. Joseph telah diminta untuk berhubung dengan pejabatnya bagi menilai keperluan penggantian papan tanda sekolah serta kerja menaik taraf padang demi keselesaan murid.

 

“Dalam pada itu, saya amat gembira apabila dimaklumkan kerja-kerja membaik pulih bangunan Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea, dengan peruntukan RM135,560 dari kerajaan negeri, akan siap pada penghujung bulan ini.

 

“Kerja-kerja lain yang sedang berjalan ialah membaik pulih kawasan taman permainan dan mengecat bangunan, agar ia lebih selesa untuk keperluan pelajar istimewa dan golongan pengajar di sekolah berkenaan,” katanya.

 

Menjadi harapannya inisiatif dan sumbangan berkenaan membantu anak-anak Bangsa Johor belajar dalam keadaan yang lebih sejahtera dan selesa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor