MB JOHOR YAKIN KOMITMEN PASUKAN PENGURUSAN BANJIR NEGERI


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempengerusi Mesyuarat tergempar di Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor lewat semalam / Gambar Ihsan FB Onn Hafiz Ghazi.

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor menaruh keyakinan terhadap komitmen agensi pengurusan bencana negeri dalam menangani situasi banjir yang berlaku di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut merayu anggota yang terlibat dalam operasi banjir kali ini untuk terus bersemangat dalam membantu semua mangsa banjir di Johor.

“Saya memahami kekangan yang sedang dihadapi oleh kesemua agensi terlibat, namun saya menaruh keyakinan ia boleh diatasi sekiranya (operasi banjir) diselaraskan dengan baik.

“Saya juga memahami kepenatan yang dialami oleh anggota-anggota dari pelbagai agensi, tetapi saya merayu supaya mereka kuatkan semangat dan terus tekun berkhidmat kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya selepas mengadakan mesyuarat tergempar di Bilik Gerakan Bencana Negeri Johor, semalam.

Onn Hafiz berkata, beliau memanggil semua agensi pengurusan berkaitan banjir untuk turut bersama menghadiri mesyuarat berkenaan susulan situasi banjir Johor yang dilihat semakin kritikal.

Ujarnya, mesyuarat telah dimaklumkan tentang keadaan semasa berkaitan banjir di Daerah Segamat, khususnya di Chaah, Pemanis, Tenang dan Labis.

“Saya telah meminta agensi yang terlibat untuk menguruskan logistik untuk penghantaran khemah serta makanan ‘retort’ (sedia untuk dimakan) ke kawasan berkenaan,” kata beliau.

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Noh Ibrahim bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia, dan Kesukarelawanan) Dato’ On Jabbar atas komitmen menyelaras usaha menyelamat serta pengagihan barang bantuan kepada mangsa terlibat.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pegawai-pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masing-masing, serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga Southern Volunteers (SV) di atas usaha yang dilakukan,” kata beliau lagi.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor