MENTERI BESAR JOHOR TINJAU DAERAH SEGAMAT


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau kelancaran pengurusan banjir dalam kunjungan di Segamat, hari ini | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini, mengadakan lawatan dan tinjauan banjir di daerah Segamat.

 

Beliau berkata, perancangan pengurusan banjir lancar selain mengajak masyarakat mendoakan urusan mangsa dan petugas dipermudahkan.

 

“Sama-samalah kita semua berdoa agar dipermudahkan segala urusan mangsa-mangsa banjir dan petugas-petugas diseluruh negeri Johor.

 

“Selepas menggerakkan peralatan khemah dan bantuan makanan tambahan melalui mesyuarat tergempar di Bilik Gerakan Bencana Johor, saya turun ke daerah segamat untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar.

 

“Syukur perancangan dari segi logistik berjalan dengan lancar biar ada penambahan yang diperlukan pada saat-saat akhir,” kata beliau di Facebooknya hari ini.

 

Selain itu, beliau berharap sumbangan daripada institusi Diraja Johor kerajaan negeri dan pelbagai pihak meringankan beban mangsa banjir.

 

“Semoga kurniaan yang disampaikan juga melalui Yayasan Sultan Ibrahim, JMF, bantuan makanan dan pemeriksaan kesihatan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta peruntukan dari kerajaan negeri sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada mangsa-mangsa yang sedang berlindung di PPS.

 

“Menjunjung Kasih DYAM Tunku Mahkota Johor yang sangat prihatin terhadap mangsa banjir dan petugas,” kata beliau.

 

Menteri Besar Johor turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantunya dan pegawai agensi berkaitan menyeberangi jalan-jalan utama di Segamat yang ditenggelami banjir.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor