MB UMUM 3 PROJEK IMPIAN EMAS BAKAL DILAKSANAKAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua projek berjumlah RM25.8 juta itu di bawah seliaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Foto Ihsan: Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Tiga projek pembangunan infrastruktur dan prasarana bakal dibangunkan melibatkan kawasan sekitar Taman Impian Emas, dekat Skudai.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kesemua projek berjumlah RM25.8 juta itu di bawah seliaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

 

“Berita baik juga buat penduduk Johor Bahru, iaitu terdapat tiga Projek Impian Emas di bawah seliaan MBIP akan dilaksanakan iaitu Hab Komuniti Impian Emas berjumlah RM13 juta; Mini Stadium, Tapak Penjaja dan Pasar Malam (RM10 juta) serta Membaikpulih Jambatan Jalan Skudai-Impian Emas (RM2.8 juta),” umum beliau ketika Majlis Berbuka Puasa Daerah Johor Bahru di Masjid Taman Impian Emas, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja menaiktaraf fasiliti dan penyelenggaraan Masjid Taman Impian Emas.

 

Pada majlis berkenaan, beliau berpeluang menyampaikan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada 250 penerima.

 

Turut disampaikan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 250 penerima selain bantuan Iskandar Investment Berhad (IIB) kepada 50 penerima.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor