JOHOR SASAR 10 JUTA PELANCONG TAHUN INI


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Silaturahim Ramadan Johor anjuran Johor Economic, Tourism and Culture Office (JETCO) di Iskandar Puteri, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menyasarkan kedatangan seramai 10 juta pelancong masuk ke Johor pada tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, berkata sasaran berkenaan dilihat realistik berdasarkan rekod kemasukan 5.3 juta pelancong pada tahun lalu.

 

Raven Kumar berkata, selain itu jumlah kemasukan pelancong pada tiga suku pertama sebelum ini juga memberi kesan positif bagi unjuran pada tahun ini.

 

“Kita mengharapkan lebih ramai pelancong yang datang ke Johor (pada tahun ini) dan kita juga sedang merancang untuk mengadakan promosi bagi menarik kedatangan pelancong kelak.

 

“Jika dilihat dari segi acara yang dijalankan di Johor ini, kita ada banyak program seperti acara sukan, Karnival Majestic Johor dan Festival Muzik Nusantara. Justeru, acara seperti ini akan dijalankan untuk menarik lagi (pelancong),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Silaturahim Ramadan Johor anjuran Johor Economic, Tourism and Culture Office (JETCO) di Iskandar Puteri, hari ini.

 

Raven Kumar berkata, selain itu penerbangan antarabangsa dari GuangZhou, China ke Johor juga dijangka akan meningkatkan kadar kedatangan pelancongan selain daripada faktor kawasan tarikan pelancong lain yang terdapat di negeri ini.

 

“Johor kini mempunyai terdapat banyak tarikan pelancong seperti di Iskandar Puteri terdapat Legoland, Desaru Coast, tempat eko-pelancongan dan kebudayaan. Jadi perkara-perkara ini akan menarik lebih ramai pelancong yang datang ke Johor kelak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor