JOHOR BAKAL TERIMA PELABURAN RM80 BILION


 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, perkara itu telah diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor bakal menerima pelaburan bernilai RM80 bilion daripada syarikat petrokimia terbesar China, Rongsheng Petrochemical Co. Ltd.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, perkara itu telah diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

 

“Perdana Menteri telah mengumumkan beliau telah menarik pelaburan RM170 bilion ke Malaysia dan kebanyakan daripada jumlah tersebut akan dilaburkan di Johor.

 

“Juga telah diumumkan di Dewan Rakyat bahawa syarikat Rongsheng telah menyatakan hasrat untuk melabur di Johor khususnya di kawasan Pengerang. Jumlah pelaburan yang dijangkakan adalah RM80 bilion,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung pengumuman Perdana Menteri bahawa China akan melabur kira-kira RM170 bilion di Malaysia di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

 

Ting Han berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah membantu syarikat berkenaan bagi meninjau prospek pelaburan di Johor sejak Julai tahun lalu.

 

Ujarnya, syarikat berkenaan juga pernah mengadakan siri perbincangan bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Februari lalu.

 

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telah berjumpa dengan pengurusan tertinggi syarikat Rongsheng (Petrochemical Co. Ltd.) di Beijing baru-baru ini dan telah berjaya untuk mendapatkan komitmen mereka melabur di Malaysia.

 

“Sekiranya ia dapat dilaksanakan, ia akan menjadi projek terbesar di Malaysia selepas projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) oleh PETRONAS,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor