MBIP LAKSANA PEMINDAHAN PENJAJA KE LOKASI BAHARU


Majlis Bandaraya Iskandar Puteri | Sumber Facebook MBIP – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melaksanakan pemindahan penjaja sekitar Jalan Pendidikan 7, Taman Universiti ke lokasi baharu berkuatkuasa 1 November lalu.

Dalam satu kenyataan, MBIP menerusi Bahagian Penjaja, Jabatan Pelesenan memaklumkan kesemua 47 penjaja di lokasi asal dipindahkan ke penempatan sementara di Jalan Pendidikan 3, Taman Universiti.

Tindakan tersebut bertujuan bagi mengelakkan kesesakan dan kemalangan yang sering berlaku di sepanjang Jalan Pendidikan 7, Taman Universiti serta aduan yang berulang kepada pihak MBIP.

“Seramai 47 orang penjaja yang terlibat telah dipindahkan ke lokasi baharu penempatan penjaja sementara di Jalan Pendidikan 3, Taman Universiti,” jelas kenyataan itu.

Berdasarkan kronologi proses pemindahan tersebut, MBIP memaklumkan bancian dan penerangan kepada penjaja di tapak telah dilaksanakan pada 3 Oktober lalu.

Ia diikuti dengan kerja mengecat petak bernombor pada 6 dan 7 Oktober sebelum pemberitahuan pemindahan penjaja ke lokasi baharu kepada pengunjung dibuat melalui pemasangan kain rentang pada 10 Oktober.

“Serahan Notis Henti Niaga dan Arahan Berpindah kepada penjaja diadakan pada 15 Oktober, serahan borang permohonan lesen kepada penjaja dan undian petak serta penerangan prosedur permohonan lesen penjaja diadakan di tapak pada 15 dan 16 Oktober.

“Jabatan Pelesenan menerima borang permohonan lesen penjaja bagi tujuan proses bermula pada 17 Oktober diikuti kerja pembersihan dengan menebang pokok di sekitar Jalan Pendidikan 3 pada 27 Oktober dan pemindahan ke lokasi baharu pada 1 November,” kata kenyataan tersebut.

MBIP berterima kasih kepada semua penjaja yang terlibat kerana memberikan kerjasama sepanjang proses pemindahan berlaku serta komitmen kepada kakitangan Jabatan Pelesenan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor