JETP BAKAL PACU INDUSTRI BERNILAI TINGGI, CIPTA PELUANG EKONOMI DI BATU PAHAT

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan kerja ke daerah Batu Pahat yang merangkumi pembentangan JETP Daerah Batu Pahat, Majlis Jalinan Rakyat serta penyerahan kunci RMMJ Taman Perbadanan Islam Rengit. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Batu Pahat bakal memberi tumpuan kepada sektor pembangunan industri bernilai tinggi, pembangunan bakat serta pengukuhan jaringan logistik bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan.
Antara perancangan strategik yang diketengahkan menerusi JETP di daerah berkenaan ialah cadangan pembangunan Taman Perindustrian Pembuatan Termaju (AMP) bagi menarik industri pembuatan bernilai tinggi ke Batu Pahat.
Pembangunan tersebut akan turut disokong menerusi usaha memperkasa bakat dalam bidang Industri 4.0, automasi dan robotik bagi memenuhi keperluan industri, selain menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
Selain itu, pengukuhan jaringan logistik juga akan dilaksanakan dengan tumpuan diberikan terhadap koridor seperti Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi meningkatkan keupayaan daerah ini sebagai lokasi strategik untuk aktiviti perindustrian dan rantaian bekalan.
Kerajaan Negeri juga turut meluluskan peruntukan sebanyak RM3.78 juta bagi pelaksanaan 25 projek keutamaan di seluruh daerah Batu Pahat sebagai usaha memperkukuh pembangunan dan kemudahan setempat.
Sementara itu dalam perkembangan lain, sebanyak 45 keluarga dari sekitar daerah berkenaan turut menerima kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Perbadanan Islam Rengit yang melibatkan 19 unit Jenis B; 16 unit (Jenis C) dan 10 unit (Jenis D).
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyalurkan dana sebanyak RM500,000 bagi menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Batu Pahat, termasuk kepada 100 persatuan di daerah berkenaan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan kerja ke daerah Batu Pahat yang merangkumi pembentangan JETP Daerah Batu Pahat, Majlis Jalinan Rakyat serta penyerahan kunci RMMJ Taman Perbadanan Islam Rengit.
#JohorSafeZone
#BatuPahat
#JETP
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


