JOHOR MAHU PELABURAN JS-SEZ BUKA LEBIH BANYAK PELUANG KEPADA RAKYAT

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan pertemuan bersama Tuan Chee Hong Tat, Menteri Pembangunan Negara Singapura dalam rangka lawatan kerja di negara jiran itu bagi membincangkan perkembangan serta langkah seterusnya dalam pelaksanaan JS-SEZ. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mahu setiap pelaburan yang dilaksanakan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mampu memberi nilai tambah lebih besar kepada ekonomi negeri, khususnya dalam membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta ruang pertumbuhan kepada syarikat, vendor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan tempatan.
Sejak Januari 2025, sebanyak 1,436 pertanyaan pelaburan telah diterima menerusi Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), termasuk 43 prospek pelaburan yang dirujuk oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) dan Enterprise Singapore.
Momentum pelaburan tersebut kini menjadi antara tumpuan dalam usaha memastikan JS-SEZ bergerak daripada perancangan kepada pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkesan.
Justeru, persediaan ke arah pelancaran Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ pada penghujung tahun ini akan turut diberi perhatian, selain usaha menarik pelabur strategik berimpak tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan dan penglibatan PKS.
Bagi Johor, kemasukan pelaburan perlu membawa bersama manfaat yang lebih besar kepada ekonomi negeri dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak-anak Johor serta membuka peluang kepada syarikat, vendor, PKS dan usahawan tempatan untuk turut sama berkembang.
Usaha memudahkan urusan perniagaan serta pergerakan barangan antara Johor dan Singapura turut diberi perhatian bagi menyokong pelaksanaan JS-SEZ dan seterusnya memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua wilayah.
Kerjasama erat Johor-Singapura akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan JS-SEZ dapat dilaksanakan dengan baik dan sistematik, sekali gus memastikan limpahan ekonomi daripada pelaburan yang dibawa dapat dinikmati oleh negeri dan seluruh Bangsa Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan pertemuan bersama Tuan Chee Hong Tat, Menteri Pembangunan Negara Singapura dalam rangka lawatan kerja di negara jiran itu bagi membincangkan perkembangan serta langkah seterusnya dalam pelaksanaan JS-SEZ.
#JohorSafeZone
#JSSEZ
#IMFCJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



