SEMANGAT BANGSA JOHOR JADI LEGASI TINGGALAN HANIFAH, KASAN DAN WAH SAN


Keadaan pelanggan yang menikmati hidangan yang disajikan di kedai Hanifah, Kasan dan Wah San.

 

MUAR — Sekitar pertengahan 1930-an, tiga sahabat karib berlainan bangsa memulakan perniagaan kedai makan di hadapan Panggung Rex di Jalan Meriam, di Bandar Muar di sini.

Namun siapa sangka, selepas hampir sembilan dekad berlalu, usaha niaga yang dimulakan oleh Allahyarham Hanifah Yusof, Allahyarham Kasan Surau dan Mendiang Wah San akhirnya menjadi satu legasi dan berkekalan hingga ke hari ini.

Lebih menarik, legasi perniagaan itu bukan sahaja diteruskan oleh waris keturunan mereka sahaja tetapi turut mengekalkan menu asal hingga ia menjadi ‘trade mark’ kepada daerah bersejarah ini.

Dengan berkongsi kos pengurusan dan penyewaan kedai, Abu Bakar Hanifah, berkata usaha tiga sahabat yang terdiri daripada India Muslim, Melayu dan Cina itu kemudiannya bertambah maju.

Katanya, walaupun berlainan kaum tetapi semangat Bangsa Johor itu menyebabkan wujudnya semangat toleransi dan saling menghormati hingga ke hari ini.

“Bagaimanapun sekitar tahun 1961 pawagam berkenaan ditutup menyebabkan tiga sekawan ini terpaksa mencari lokasi baharu untuk meneruskan bisnes mereka ini.

“Alhamdulillah, mereka bertiga akhirnya menemui satu lot premis kedai di Jalan Abdullah yang juga laluan utama di Bandar Muar dan ia kekal beroperasi hingga ke hari ini,” katanya.

Abu Bakar berkata, beliau sebagai waris kemudiannya menyambung perniagaan orang tuanya dan begitu juga dengan waris dua lagi rakan arwah bapanya.

“Saya meneruskan perniagaan mi bandung dan makanan bergoreng yang dimulakan oleh arwah ayah, manakala perniagaan sate diteruskan oleh anak arwah Kasan iaitu Jamilah bersama suaminya, Abu Bakar Rahmat. Perniagaan minuman pula diteruskan oleh cucu mendiang Wah San iaitu Wee Ming Han.

“Kami semua sudah seperti satu keluarga. Bukan setakat saling menghormati tetapi sehingga boleh bergurau senda hingga ia juga menjadi tarikan pengunjung ke restoran kami,” katanya.

Bagi Ming Han pula, beliau langsung tidak pernah berasa janggal berniaga bersama rakannya biarpun dilahirkan daripada kaum yang berbeza latar belakang.

“Saya sama sekali tidak pernah berasa kekok sebab sudah terbiasa dengan persekitaran muhibbah ini sejak dari kecil lagi bersama ibubapa dan datuk.

“Jujurnya sebelum saya mengambil alih pernigaan ini, ia sebenarnya terlebih dahulu disambung oleh bapa saudara sebelum ia diserahkan kepada saya,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor