MENTERI BESAR PUJI KOMITMEN MASYARAKAT JAYAKAN JOHOR BERSIH


Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi hadir ke Program Gotong-Royong Johor Bersih di Pantai Lido, hari ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Usaha Kerajaan Negeri menekankan aspek penjagaan kebersihan dalam kalangan Bangsa Johor melalui Agenda Johor Bersih yang dilancarkan pada tahun 2022 terus mendapat sambutan sehingga hari ini.

 

Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kesedaran sivik masyarakat dilihat semakin meningkat berikutan agenda berkenaan yang sering diterjemahkan melalui tindakan malah berharap ia diteruskan oleh semua pihak.

 

Beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor yang mengetuai aktiviti Johor Bersih di peringkat PBT dan kawasan di seluruh negeri ini.

 

Terdahulu, kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi, sukarelawan Southern Volunteers, pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Pihak berkuasa Tempatan (PBT) memeriahkan Gotong Royong @ Pantai Lido Bersama Menteri Besar, hari ini.

 

Pantai Lido merupakan jajaran pesisiran pantai dengan pemandangan negara jiran Singapura terpisah Selat Johor yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi terkenal di kalangan pengunjung dari dalam mahupun luar negeri ini.

 

Menteri Besar memberitahu pelbagai pihak menyuarakan hasrat untuk menjadikan kembali kawasan Pantai Lido sebagai lokasi riadah, tetapi masyarakat dinasihatkan tidak bermandi manda atas faktor keselamatan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor