PANTAI LIDO DIJADIKAN PARKIR UNTUK PELAWAT, PESAKIT HSA


Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi memaklumkan sebanyak 170 lot parkir akan dibina di kawasan tanah lapang Pantai Lido untuk kegunaan pelawat hospital. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Negeri komited menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kenderaan dan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, menerusi kerjasama dengan Tropicana Corporation Berhad.

 

Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi memberitahu sebanyak 170 lot parkir akan dibina di kawasan tanah lapang Pantai Lido berhadapan hospital berkenaan di mana fasa pertama dijangka siap pada hujung Januari ini.

 

Projek melibatkan kawasan seluas enam hektar itu bakal dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa, manakala fasa kedua dijangka melibatkan pembinaan 200 lot parkir tambahan sekiranya terdapat keperluan.

 

Inisiatif berkenaan bagi memudahkan orang ramai terutama pelawat dan pesakit supaya tidak perlu meletakkan kenderaan di tepi jalan sekali gus mampu mengurangkan masalah kekurangan parkir dan kesesakan di dalam kawasan hospital.

 

Dimaklumkan, apabila siap kelak, meletakkan kenderaan di kawasan baharu itu adalah percuma untuk bulan pertama, namun pengoperasian akan diserahkan kepada operator parkir hospital pada bulan seterusnya.

 

Terdahulu, Menteri Besar hadir menyempurnakan Majlis Gimik Pecah Tanah Tapak Letak Kenderaan HSA selepas bersama menjayakan Program Gotong Royong @ Pantai Lido, Johor Bahru, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor