TAMBAH PERUNTUKAN RM840,000 UNTUK SEMARAK SUBUH


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika di Program Semarak Subuh di Surau Al-Muttaqin, Bandar Penawar pada Februari lepas. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM840,000 berikutan sambutan luar biasa diterima daripada masyarakat Islam termasuk golongan muda di negeri ini, terhadap program Semarak Subuh.

 

Peruntukan tersebut merupakan tambahan kepada RM560,000 diumumkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2024 untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini sekali gus menjadikan keseluruhan berjumlah RM1.4 juta.

 

Sehingga minggu ke-20, program Semarak Subuh yang dilaksanakan di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menarik lebih 200,000 jemaah melibatkan 988 masjid dan surau di negeri ini.

 

Kerajaan Negeri memuji komitmen diberikan pengurusan masjid dan surau bagi menjayakan program tersebut termasuk mengeluarkan dana daripada tabung sendiri selain infak daripada orang perseorangan untuk jamuan kepada jemaah.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

Program Semarak Subuh merupakan inisiatif dalam Strategi Memperkukuh Tadbir Urus Syiar Islam di bawah Teras Pertama : Tadbir Urus Kerajaan bagi Belanjawan Johor 2024 diumumkan Menteri Besar Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor