MORATORIUM MAMPU BERI KELEGAAN KEPADA MANGSA BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyambut baik permohonan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemberian moratorium kepada mangsa banjir Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pemberian moratorium kepada mangsa banjir mampu membantu sekali gus memberikan kelegaan terutama di kalangan peniaga dan usahawan di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyambut baik permohonan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung perkara itu.

 

“Saya menyambut baik dan menyokong penuh usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membantu rakyat iaitu memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

 

“Umum mengetahui Negeri Johor dilanda bencana banjir luar biasa yang menyaksikan lebih 50,000 mangsa terjejas di semua 10 daerah. Musibah ini tentunya satu dugaan dan cabaran buat semua mangsa-mangsa yang terkesan khususnya buat peniaga-peniaga dan belia di negeri ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Mohd Hairi percaya Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia boleh memikirkan dan menggunakan mekanisme sesuai bagi membolehkan pemberian moratorium itu dilaksanakan.

 

Antaranya, meminta pemohon yang ingin memohon penangguhan bayaran mengemukakan bukti atau dokumen sokongan daripada Ketua Kampung atau Penghulu bagi mengesahkan mereka terkesan dengan bencana banjir.

 

“Saya yakin inisiatif pengecualian bayaran atau moratorium tiga hingga enam bulan akan menjadi khabar gembira dan membolehkan peniaga-peniaga terkesan menarik nafas lega serta mampu mengumpul semula modal pusingan untuk mereka bertapak semula memulihkan perniagaan mereka,” kata beliau lagi.

 

Semalam, Media Digital Johor melaporkan Menteri Besar Johor memohon Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pemberian moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi mangsa banjir yang terjejas.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor