LEBIH 50 LOKASI DIKENALPASTI ROSAK AKIBAT BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, mempengerusikan Mesyuarat ‘Task Force’ Banjir melibatkan portfolionya, semalam / Sumber Gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Lebih 50 lokasi dikenalpasti mengalami kerosakan jalan akibat banjir di negeri ini.

 

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Menurut beliau, angka tersebut dijangka bertambah sebaik sahaja pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi, Safwa Global Venture (M) Sdn. Bhd. dapat mengakses kawasan ditenggelami banjir.

 

“Permukaan jalan juga menjadi lebih teruk kerana serapan air bawah tanah menyebabkan struktur asas menjadi lemah dan rosak. Kerosakan ini akan dibaiki segera sebaik sahaja banjir surut dan cuaca kembali baik.

 

“Oleh itu, saya memohon agar pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika musim sekarang ini,” kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Task Force Banjir di seluruh Johor, semalam.

 

Mesyuarat tersebut disertai JKR Negeri Johor, Safwa Global Venture, Ranhill SAJ, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta beberapa jabatan dan agensi berkaitan.

 

Mohamad Fazli berkata, selain itu, terdapat juga lokasi yang mengalami masalah tanah runtuh sehingga mengakibatkan jalan terpaksa ditutup dan beberapa kawasan terputus hubungan.

 

“Namun begitu, bagi laluan utama, JKR menyediakan laluan alternatif bagi kemudahan pengguna,” kata beliau.

 

Berhubung isu bekalan air bersih, beliau memaklumkan tiada masalah air tidak mencukupi dilaporkan di mana-mana Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat ini.

 

“Laporan diterima ialah mengenai tekanan air rendah akibat penggunaan yang lebih banyak daripada biasa di PPS dan pihak Ranhill SAJ telah menyediakan 94 tangki statik sebagai tambahan bagi mengelakkan isu bekalan air terputus,” kata beliau.

 

Sementara itu, Mohamad Fazli turut berkongsi laporan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bahawa sebanyak 125 Pencawang Elektrik (PE) yang terpaksa dihentikan operasi akibat banjir negeri ini.

 

Daripada jumlah tersebut, hanya 44 sahaja PE yang masih belum beroperasi semula, namun kesemua PPS yang beroperasi tidak mengalami masalah bekalan elektrik.

 

“Pengguna diingatkan agar menjaga keselamatan terutamanya ketika musim banjir ini,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor