MPKu TINGKAT USAHA PERKASA KULAI FAST LANE
#Kulai – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) akan terus melaksanakan langkah strategik dalam usaha untuk memperkasa lagi inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) bagi meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan proses pembangunan dan seterusnya mempelbagaikan prospek pertumbuhan ekonomi di kawasan pentadbirannya.
Selepas berjaya menarik urus niaga pelaburan yang meningkat sehingga 171 peratus atau bersamaan RM40.7 bilion sejak KFL mula diperkenalkan pada Mei 2022, MPKu akan menambah baik inisiatif KFL menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengautomasikan proses kelulusan perancangan, pelan bangunan dan juga pelan kejuruteraan.
Penggunaan teknologi AI diyakini akan mampu membuka peluang kepada lebih banyak projek yang boleh menerima manfaat serta kemudahan yang ditawarkan melalui KFL bagi mengurangkan tempoh pembangunan menerusi penjimatan sehingga 12 bulan yang bakal memberi kesan positif kepada pihak pemaju.
Usaha berterusan ini adalah sebahagian daripada komitmen MPKu dalam menjayakan hasrat Kerajaan Negeri bagi memudahcara perniagaan dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi usaha mempermudah proses pembangunan, mempercepatkan perkhidmatan dan memastikan pematuhan kepada piawaian tertinggi sebagaimana yang ditetapkan.
Inisiatif tersebut juga telah menjadi tanda aras, rujukan dan ikutan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di negeri ini dan juga di beberapa PBT seperti Melaka dan Selangor. Inisiatif ini juga akan diperluaskan merangkumi projek pembangunan berimpak tinggi termasuk di sektor perdagangan, pusat kesihatan, pendidikan, pelancongan dan kemudahan awam.
KFL turut mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu, selain ia bakal diperluaskan kepada Johor Super Lane (JSL) di Pusat Memudah cara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) bagi mempercepat dan memudah cara pelaburan ke negeri ini.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor