MPS LAKSANAKAN PENYUSUNAN SEMULA TAPAK PASAR MALAM UNTUK BANTU PENIAGA


Kakitangan Majlis Perbandaran Segamat (MPS) membuat pemantauan dan penyusunan semula tapak Pasar Malam Bukit Siput dan Taman Yayasan / Foto Ihsan Majlis Perbandaran Segamat.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Perbandaran Segamat (MPS) membuat pemantauan di tapak Pasar Malam Bukit Siput dan Taman Yayasan pada setiap hari Khamis.

Yang Dipertua MPS, Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, berkata pemantauan itu dilaksanakan bagi tujuan penyusunan semula di kedua-dua tapak pasar malam berkenaan.

Katanya, ini kerana Pasar Malam Bukit Siput dan Taman Yayasan juga menjadi lokasi tumpuan penduduk di sekitar kawasan ini untuk berbelanja.

“Penyusunan semula peniaga dan pemutihan pasar malam ini dilakukan berikutan sektor ekonomi mula dibuka dan dibenarkan beroperasi secara perlahan-lahan selepas pandemik Covid 19 melanda negara ini.

“Ia menjadi satu tempoh yang sukar dan memberi kesan mendalam kepada peniaga khususnya kepada golongan peniaga dan penjaja kecil . Mereka adalah komponen yang cukup penting sebagai penggerak kitaran ekonomi domestik dan perlu dibantu”, katanya dalam laman Facebook rasmi MPS, hari ini.

Ungku Mohd Tahir berkata, menerusi penyusunan semula ini akan dapat memberi peluang kepada peniaga yang amat memerlukan tempat untuk menjalankan bisnes mereka.

“Justeru, Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MPS diberi tanggungjawab untuk melakukan pemantauan bagi penyusunan semula Pasar Malam Bukit Siput dan Taman Yayasan ini.

“Operasi pemantauan ini juga turut membitkan Pengerusi Persatuan Pasar Malam di kedua-dua kawasan terbabit supaya tindakan pro aktif akan dapat diambil,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor