MUZIUM TOKOH JOHOR BAKAL TAMPIL DENGAN TARIKAN DIGITAL INTERAKTIF

Sektor pelancongan warisan Johor terus diperkasa menerusi pembangunan Muzium Tokoh Johor sebagai muzium digital interaktif dan imersif pertama di negeri ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Sektor pelancongan berasaskan warisan terus diperkukuh apabila Kerajaan Negeri melalui pembangunan Muzium Tokoh Johor bakal menjadi muzium digital interaktif dan imersif pertama di negeri ini.

 

Tarikan pelancongan terkini ini akan menampilkan pendekatan baharu dalam pemeliharaan sejarah serta identiti Bangsa Johor yang dijangka akan dibuka kepada umum selepas hampir lima tahun ditutup.

 

Muzium Tokoh Johor akan menampilkan 13 ruang pameran interaktif, 66 panel digital serta 40 unit teknologi ‘Augmented Reality’ (AR), sekali gus menawarkan pengalaman penceritaan 180 darjah yang moden dan menarik kepada pengunjung.

 

Muzium tersebut turut mengetengahkan 122 tokoh penting Negeri Johor yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kegemilangan negeri, sekali gus berupaya menjadikannya sebagai medium pendidikan, inspirasi dan penghayatan sejarah kepada generasi masa kini dan akan datang.

 

Selain itu, usaha menaik taraf Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) yang telah dilaksanakan sejak hampir dua tahun lalu, kini juga bakal menawarkan pelbagai pengisian interaktif termasuk pembelajaran Zapin Johor, pengenalan permainan dan alat muzik tradisional, pemakaian busana tradisional serta persembahan kebudayaan Bangsa Johor yang akan merangkumi tarian Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

 

Selain itu, KWSAB turut mengetengahkan kekayaan gastronomi Johor melalui penyediaan makanan tradisional seperti burasak, nasi beriani dan laksa Johor yang akan memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan warisan pilihan di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam.

 

#JohorSafeZone
#MuziumTokohJohor
#KWSAB
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor