PERLAWANAN SUKAR, JDT FOKUS MENENTANG SABAH


Pengurus dan Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari menyifatkan pertembungan dengan Sabah FC, esok, sebagai perlawanan yang sukar dalam satu kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam / Sumber Foto JOHOR Southern Tigers.

 

 

ISKANDAR PUTERI Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyifatkan pertembungan dengan Sabah FC, esok, sebagai perlawanan yang sukar berdasar prestasi semasa The Rhinos.

 

Pengurus dan Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari berkata, pasukan bimbingannya perlu fokus secara taktikal sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

 

“Perlawanan menentang Sabah pada hari Jumaat ini, merupakan satu perlawanan yang sukar memandangkan mereka juga mempamerkan prestasi yang baik selepas lima perlawanan pembukaan liga.

 

“Kami perlu fokus secara taktikal sepanjang 90 minit. Kami telah menunjukkan prestasi yang baik setakat ini tetapi masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam.

 

Solari berkata, terdapat pemain yang belum pulih dari kecederaan dan masih menjalani proses pemulihan, namun berharap kesemua tonggak terbabit kembali cergas sebelum menentang Sabah FC.

 

Antara pemain yang dimaksudkan adalah Natxo Insa, Bergson Da Silva, Arif Aiman dan Endrick Dos Santos.

 

“Kami berharap pemain-pemain ini kembali cergas sepenuhnya untuk perlawanan menentang Sabah dan perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.

 

Dalam siaran berasingan, JOHOR Southern Tigers turut memuatnaik titah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkaitan aksi di laman sendiri, esok.

 

“Jumpa di Stadium Sultan Ibrahim hari Jumaat ini keluarga JDT ku. Misi belum selesai untuk mencipta sejarah mendominasi 1 dekad. Perjalanan masih jauh. Demi Johor, demi kelab kami, demi keluarga biru merah putih kami.

 

“Kami adalah pencipta sejarah dan peneraju dalam setiap aspek. Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi. Jumpa hari Jumaat ini. Hidup Johor, Muafakat Itu Berkat. Allah Peliharakan Sultan,” titah baginda Tunku.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor