PASTIKAN RAKYAT TIDAK JADI MANGSA


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri memberi jaminan akan terus mempertahankan Dasar Perumahan Johor supaya rakyat tidak menjadi mangsa arus pembangunan pesat terutama dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka memberi kesan kepada sektor perumahan.

 

Justeru, semua pihak berkepentingan diajak untuk berganding bahu ke arah menjayakan agenda perumahan mampu milik bagi mencapai matlamat penyediaan rumah mampu dimiliki yang mencukupi kepada Bangsa Johor terutama golongan sasar.

 

Sehingga tahun 2026, kira-kira 27,620 unit berharga antara RM100,000 hingga RM300,000 akan siap dibina di kawasan JS-SEZ manakala 20,000 unit lagi dijangka dapat disediakan menjelang tahun 2030.

 

Kesemua kediaman berkenaan melibatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ), Rumah Kasih Johor (RKJ), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

 

Selain itu, Kerajaan Negeri mengajak semua pihak untuk menyokong pembangunan JS-SEZ untuk galakan perniagaan dan pelaburan yang akan memberi manfaat kemakmuran serta kemajuan kepada rakyat dan negeri ini demi merealisasikan hasrat Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor