PELAJAR SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR CIPTA LAGI KEJAYAAN DI PERSADA ANTARABANGSA

Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, murid Tahun Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), SK Tasek Utara, mengharumkan nama Johor dan Malaysia apabila muncul juara Pusingan Penentuan Kelayakan (Play-Off Qualifier) Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.
#IskandarPuteri – Murid Tahun Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum telah berjaya mengharumkan nama Johor dan Malaysia apabila muncul juara pada Pusingan Penentuan Kelayakan (Play-Off Qualifier) Pertandingan Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.
Wan Harriz, murid dari Kelas 4 Sapphire itu berjaya mengatasi peserta dari pelbagai negara dalam pertandingan bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa yang turut disertai lebih 90,000 pelajar dari lebih 70 negara, sekali gus mara ke Pusingan Akhir Dunia yang dijadual bakal berlangsung di Spoleto, Itali pada Oktober nanti.
Dalam masa yang sama, seorang lagi wakil negara iaitu Aaron Yung Wayze dari SJKC Sin Hwa berjaya meraih Johan di Pusingan Benua Asia-Pasifik Hippo English Without Borders Ke-14, yang telah berlangsung di Phuket pada 2 hingga 5 Julai 2026.
Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) merupakan cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebagai satu inisiatif bagi memperkasa sistem pendidikan negeri untuk menghasilkan generasi Bangsa Johor yang holistik dan berdaya saing.
Pencapaian Wan Harriz itu secara tidak langsung mencerminkan aspirasi SRBJ, menerusi Teras 1, yang memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Inggeris, selain membentuk murid yang yakin, mempunyai kemahiran komunikasi serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Kerajaan Johor merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Wan Harriz atas kejayaan membanggakan tersebut, selain menghargai sokongan ibu bapa, guru serta pihak sekolah yang membimbing beliau sehingga mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.
Kejayaan itu diharapkan menjadi pembakar semangat kepada Wan Harriz untuk terus cemerlang dalam pusingan akhir di Itali, sekali gus membawa nama Johor dan Malaysia lebih jauh di pentas dunia.
Untuk rekod, Program Hippo English Without Borders merupakan pertandingan bahasa Inggeris antarabangsa bagi pelajar berusia enam hingga 19 tahun yang akan menilai kemahiran membaca, menulis, mendengar, bertutur serta tatabahasa selaras dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#JohorLeads
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


