PELAJAR SRBJ JUARA PERTANDINGAN INOVASI ANTARABANGSA DI JEPUN

Pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dari SMK Seri Kota Puteri 2 mencipta kejayaan apabila merangkul Tempat Pertama Anugerah Inovasi Idea Terbaik di Sidang Kemuncak Belia Jepun dan Program STEM Antarabangsa 2026. | Foto FB Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya merangkul Tempat Pertama Anugerah Inovasi Idea Terbaik sempena Sidang Kemuncak Belia Jepun dan Program Pendedahan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Antarabangsa 2026.
Kejayaan pelajar SRBJ ini secara tidak langsung telah membuktikan agenda pembangunan pendidikan Johor kini berada pada landasan tepat dalam melahirkan generasi Bangsa Johor yang kompeten, selari dengan aspirasi yang dicetuskan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Selain itu, pasukan SRBJ juga berjaya mencuri perhatian juri menerusi projek inovasi ‘Craytion’, iaitu krayon mesra alam berasaskan minyak masak terpakai dan pewarna semula jadi yang dibangunkan khusus untuk menyokong terapi sensori bagi kanak-kanak autisme.
Dianggotai tiga pelajar iaitu Farhah Azra Abdul Rahim, Muhammad Darwish Dhani Darmawi dan Shreeniithi di bawah bimbingan guru, YBrs Puan Yogeshwari Chelliah, inovasi berkenaan turut menepati elemen pendidikan inklusif, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 11 dan 12.
Sokongan turut diberikan YBhg. Encik Zulkurnaian Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Kerajaan Negeri serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang turut menyalurkan dana persediaan pertandingan bagi memastikan kesiapsiagaan pelajar berkenaan berada pada tahap terbaik, sebelum beraksi di pentas antarabangsa yang diketuai Pengetua SMK Seri Kota Puteri 2, YBrs. Puan Siti Norbayah Jema’at.
Pertandingan yang berlangsung dari 11 hingga 14 Mei lalu di Universiti Osaka Kyoiku, Jepun itu menghimpunkan 12 delegasi antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, China, Kanada, Hong Kong dan negara ASEAN.
#JohorSafeZone
#SRBJ
#AgendaPendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



