PELEPASAN NYAMUK BERWOLBACHIA DI PPR KEMPAS PERMAI


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, melepaskan nyamuk Aedes spesies aegypti berWolbachia dewasa di PPR Kempas Permai.

 

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaksanakan operasi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di dua lokaliti PPR Kempas Permai di daerah Johor Bahru, bermula sejak 18 Mei 2022 melibatkan 14 siri pelepasan telur nyamuk Aedes berWolbachia setiap dua minggu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan proses itu disusuli dengan pemantauan selama lapan bulan tanpa pelepasan telur nyamuk, dan kedua-dua lokaliti kekal tiada kes denggi pada tahun ini, sehingga kini.

 

Bagi memastikan kesinambungan operasi berkenaan, JKNJ sedang melaksanakan aktiviti pelepasan nyamuk dewasa Aedes berWolbachia iaitu fasa booster 1 di dua lokaliti tersebut setiap minggu selama lapan minggu bermula 16 September 2023, dan 17 Oktober 2023 merupakan pelepasan minggu kelima dalam fasa booster 1.

 

Sepanjang tempoh lapan minggu ini, hurungan nyamuk dijangka meningkat buat sementara waktu, namun penduduk di lokaliti terbabit tidak perlu bimbang kerana nyamuk Aedes berWolbachia tidak akan menyebarkan virus denggi apabila menggigit manusia.

 

Nyamuk Aedes berWolbachia merupakan nyamuk Aedes yang mengandungi bakteria Wolbachia yang berupaya merencatkan virus denggi di dalam badan nyamuk dan seterusnya memutuskan rantaian jangkitan denggi sekali gus menjadi salah satu pendekatan alternatif bagi kawalan dan pencegahan penyakit demam denggi di samping kawalan sedia ada.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor