PEMAIN JDT ADA KUALITI : TMJ


DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah,, teknologi dan intensiti di dalam latihan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti pemain seperti mana diterapkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selama ini. | Foto ihsan : JOHOR Southern Tigers

 

ISKANDAR PUTERI — DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, perlu ada keseimbangan bagi menilai seseorang pemain di antara minit permainan dan kualiti yang dimiliki.

 

Titah baginda Tunku, teknologi dan intensiti di dalam latihan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti pemain seperti mana diterapkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selama ini.

 

“Sebagai contoh, Akhyar Rashid yang tidak mendapat minit permainan yang banyak di JDT tetapi telah beraksi dengan baik dan menyumbang jaringan buat pasukan kebangsaan tempoh hari.

 

“Malah, jaringan ketika Malaysia menentang Turkmenistan itu melibatkan kombinasi ketiga-ketiga pemain JDT iaitu Endrick Dos Santos, Corbin Ong dan Akhyar Rashid,” titah baginda menerusi video dimuatnaik dalam Facebook JOHOR Southern Tigers, semalam.

 

Pemilik JDT itu bertitah, kesemua pemain Harimau Selatan sudah lazim dengan sistem latihan sedia ada yang telah diterapkan selama ini.

 

“Jika anda mahukan kualiti, pemain-pemain JDT ada kualiti tersebut dan menerusi latihan yang diterapkan, mereka bersedia pada bila-bila masa untuk beraksi,” titah baginda Tunku lagi.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor