PENANTIAN HAMPIR 20 TAHUN BERAKHIR
KOTA TINGGI — Penantian hampir 20 tahun kira-kira 300 penduduk terdiri daripada generasi kedua FELDA Sungai Sayong dan FELDA Bukit Ramun untuk menerima hak milik tanah masing-masing, berakhir.
Kesemua mereka menerima notis 5A yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.
Onn Hafiz berkata, usaha melibatkan semua pihak bagi memastikan permohonan yang dibuat oleh generasi kedua bagi kedua-dua FELDA itu untuk diluluskan selama ini, telah membawa khabar gembira.
“Alhamdulillah, sesungguhnya usaha ini berkat gemblengan tenaga semua pihak termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Johor, Pejabat Tanah Kota Tinggi dan semua pihak yang memastikan kerunsingan yang ada pada generasi kedua FELDA dapat diselesaikan.
“Di Kota Tinggi, ada 32 rangkaian FELDA dan lima kawasan FELDA masih lagi belum mendapat notis 5A.
“Jadi saya merayu kepada pihak PTG untuk selesaikan segera pada tahun ini. Kita sama-sama memudahkan urusan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Generasi Kedua FELDA Sungai Sayong dan FELDA Bukit Ramun di Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai Sayong, di sini.
Selain itu, Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah berjaya meraih hasil daripada pembayaran cukai tanah pada kadar 70 peratus daripada sasaran ditetapkan, pada tahun ini.
Sementara itu, Pengerusi Generasi Kedua Fasa Dua FELDA Bukit Ramun, Syuhaime Sahlan, 46, ketika ditemui Media Digital Johor merakamkan rasa syukur dan gembira selepas menerima hak milik tanah itu.
“Syukur sangat-sangat dan seronok akhirnya dapat juga. Inilah saat-saat yang dinantikan oleh semua generasi FELDA Bukit Ramun. Ramai dari kalangan kami sudah membina rumah.
“Batu sempadan semua sudah tanam, cuma kita nak ratakan tanah dan terima kasih kepada pihak Pejabat Tanah (Kota Tinggi) dan PTG (Negeri Johor) yang mempertimbangkan permohonan (dibuat) selama ini,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor