PENDAKI DILAPORKAN HILANG DITEMUI SELAMAT


Pendaki dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Pulai secara bersendirian dijumpai selamat oleh pasukan carilamat | Sumber Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pendaki dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Pulai secara bersendirian telah dijumpai dengan selamat, awal pagi ini

Pendaki tersebut ditemui kira-kira 12.40 pagi oleh pasukan Malim Gunung Perhutanan (MGP) Johor yang turut serta dalam aktiviti mencari dan menyelamat diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman berkata, pihak mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pencarian mangsa.

“Khususnya MGP Johor, pasukan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pusat Khidmat ADUN Pekan Nanas serta NGO yang telah memberi komitmen yang tinggi dalam operasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, ujar beliau, semua pihak terutama mereka yang gemar mendaki atau ‘hiking’ dinasihatkan agar mematuhi arahan penutupan trek pendakian yang telah dikeluarkan oleh jabatan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kemalangan serta perkara-perkara yang tidak diingini lanjutan daripada kehadiran musim tengkujuh yang sedang melanda negara.

“Nasihat jabatan ini juga, jika hendak mendaki perlu menggunakan trek yang telah disediakan oleh pihak jabatan di samping mendapatkan khidmat MGP terutamanya bagi mereka yang tidak biasa mendaki atau meredah hutan,” katanya.

Salim berkata, pendaki diingatkan agar tidak mendaki secara bersendirian kerana sangat berbahaya selain perlu mendapatkan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) dari jabatan jika pendakian melalui trek atau denai di dalam kawasan HSK.

“Kegagalan mematuhi arahan tersebut bukan sahaja boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor iaitu memasuki Hutan Simpan Kekal tanpa sebarang kebenaran atau Permit Memasuki HSK.

“Sebaliknya, boleh mengundang bahaya kepada pendaki di samping menyukarkan pasukan keselamatan yang terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat. Keselamatan diri adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Terdahulu, pendaki tersebut dijumpai kira-kira 400 meter dari lokasi asal yang dikongsikan oleh beliau sebelum gagal dikesan.

Dimaklumkan pendaki tersebut telah masuk ke hutan melalui tanah persendirian iaitu kawasan Tasik Biru, Kangkar Pulai untuk mendaki ke puncak Gunung Pulai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor