PENDEKATAN BAHARU ATASI KESESAKAN BSI, KSAB : KP JIM


Kesesakan pada di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

 

Oleh: Muhamad Syafiq Mohd Tayeb

 

JOHOR BAHRU — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) komited melaksanakan pendekatan baharu bagi mengatasi isu kesesakan di pintu sempadan negara, di negeri ini.

 

Ketua Pengarahnya, Dato’ Ruslin Jusoh berkata, pendekatan diambil melibatkan pengurusan sumber manusia dan penyelenggaraan yang dilihat perlu untuk disegerakan.

 

Beliau berkata, antara pendekatan itu adalah memperkenalkan formula pertukaran syif melibatkan semua kaunter JIM di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

 

“Fokus kami untuk memastikan semua kaunter dapat di buka sepenuhnya dan membuatkan trafik dapat berjalan dengan lancar meskipun jumlah keluar masuk agak tinggi.

 

“Fomula ini masih lagi dalam kajian dan akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat’’, katanya pada sidang media selepas meninjau Kompleks CIQ BSI, di sini, pagi tadi.

 

Ruslin berkata, pihaknya juga sudah mewujudkan Pasukan Tindakan Pantas (QRT Team) sebagai inisiatif jangka masa pendek untuk mengatasi cabaran dihadapi.

 

Ujarnya, pasukan tersebut sentiasa berada dalam kesiapsiagaan sekiranya pegawai bertugas kaunter tidak dapat hadir selain bagi urusan penyuraian trafik.

 

Selain itu, beliau memberitahu JIM akan membuat penempatan 100 pegawai yang baru tamat latihan untuk ditempatkan di kedua-dua pintu sempadan negara terlibat.

 

“Penggabungan kaunter akan dilaksanakan dengan melibatkan JIM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Touch ‘n Go untuk menjimatkan masa berurusan.

 

“Penambahan 20 ‘autogate’ dan pengubahsuaian dewan bas turut dilaksanakan dengan tempoh yang segera. Sebanyak 33 kaunter ‘MBike’ akan ditambah,” kata beliau lagi.

 

Sementara itu, Ruslin turut berterima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas keprihatinan dalam membantu menyelesaikan isu di pintu sempadan negara.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor