JOHOR PERLU HOSPITAL BAHARU: EXCO KESIHATAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan tinjauan operasi dan fasiliti Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, semalam. | Sumber foto Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor melihat terdapat keperluan pembinaan sebuah hospital baharu di bahagian Selatan negeri ini, bagi menampung pertambahan jumlah pesakit.

 

Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

 

Terdahulu, beliau mengadakan tinjauan operasi dan fasiliti Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, semalam.

 

Pengoperasian ketika cuti am dan hujung minggu menyaksikan jabatan tersebut menerima semua kes susulan klinik kesihatan yang tidak beroperasi.

 

Tian Soon berkata, jabatan yang beroperasi 24 Jam terbahagi empat zon iaitu merah, kuning, hijau dan isolasi itu memerlukan lebih kurang 80 kakitangan bagi setiap syif.

 

Menurutnya, jika banyak kes di zon merah dan kuning, ia akan menyebabkan masa menunggu di zon hijau lebih panjang.

 

“Selain itu, kes yang perlukan wad juga diaturkan melalui jabatan kecemasan, jika tiada katil yang kosong di wad, pesakit akan ditempatkan sementara di jabatan kecemasan.

 

“Kadar penggunaan katil di HSA setiap hari sangat tinggi, kadangkala mereka perlu menunggu pesakit ‘discharge’ baru dapat kekosongan.

 

“Oleh itu, ini membuktikan bahawa bahagian selatan Johor memerlukan sebuah hospital yang baru,” kata beliau di Facebook rasminya, semalam.

 

Beliau turut memaklumkan bahawa kerusi lama telah ditukar kepada baharu menerusi peruntukan kerajaan negeri, selain tandas awam di jabatan tersebut yang telah dinaiktaraf.

 

“Kami harap dapat terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti bagi Bangsa Johor,” kata beliau yang turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan perubatan yang bertugas.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor