PENERIMA BANTUAN YSIJ SYUKUR TERIMA SUMBANGAN


Abdul Karim Wan Mohamad merupakan salah seorang penerima bantuan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ). | Foto MDJ Wira Anggara

 

KULAI — Seorang penerima bantuan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) merakamkan kesyukuran atas sumbangan diterima sempena Kembara Mahkota Johor 2023.

 

Abdul Karim Wan Mohamad, 63, yang menghidap Myasthenia Gravis merupakan salah seorang daripada lima enerima bantuan YSIJ disampaikan YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak, di sini.

 

“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT. Gembira tidak terkira rasanya. Apatah lagi dapat bertemu dengan (paduka) anakanda Sultan Johor. Tak pernah tengok (bersua muka) sebelum ini,” kata bapa kepada dua cahaya mata yang hadir ditemani isterinya, Siti A’shah Nafiah, 57.

 

Menceritakan mengenai penyakit suaminya, Siti A’shah berkata, penyakit Myastenia Gravis merupakan penyakit gangguan melibatkan saraf dan otot yang dihidapi sejak tahun 2019.

 

Menurutnya, sejak daripada itu, kesihatan suaminya kian merosot selain terpaksa mendapatkan rawatan secara berkala pada setiap bulan.

 

“Kami akan ke hospital besar Johor Bahru dari Ayer Bemban bagi rawatan (neurologi). Anak akan menghantar suami ke hospital.

 

“Sudah tentu keadaan jarak antara rumah yang kami sewa dan hospital di Johor agak jauh dan melibatkan kos, tetapi perlu untuk mematuhi ‘appointment’ setiap bulan,” katanya yang memberitahu suaminya merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) secara bulanan.

 

Difahamkan, Myasthenia Gravis merupakan penyakit gangguan autoimun yang menyebabkan penghidapnya mengalami kegagalan penghantaran impuls dari hujung saraf ke otot.

 

Untuk rekod, sempena Kembara Mahkota Johor 2023, YSIJ menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai kepada lima penerima di setiap 10 daerah melibatkan jumlah keseluruhan RM25,000.

 

Selain YSIJ, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah turut menyampaikan sumbangan kepada golongan sasar.

 

Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim ditemani Che’ Puan Besar Khaleeda berangkat ke destinasi penutup Kembara Mahkota Johor 2023 di Kompleks Penghulu Mukim Sedenak, di sini.

 

Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

 

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani; EXCO Kerajaan Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor dan Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor