PENGANUT HINDU KONGSI RASA TERGURIS UMAT ISLAM
Cubit paha kanan, paha kiri turut terasa sakitnya. Itu perasaan yang turut dikongsi oleh masyarakat India atau lebih tepat penganut Hindu di negeri ini yang berkongsi rasa tergurisnya umat Islam dengan insiden ‘stokin berkalimahkan Allah’ baru-baru ini.
Atas rasa kebersamaan dan toleransi berlandaskan semangat Muafakat Bangsa Johor itu, pihak Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, Johor Bahru turut melahirkan rasa terkilan, kecewa dan marah dengan insiden yang tidak bertanggungjawab itu.
Presiden kuil berkenaan, V Raja Selan, berkata pihaknya menolak, mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini, tatkala umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini.
“Berkaitan dengan isu sensitif ini, padangan saya ia sama sekali tidak boleh diterima dan bertolak ansur kerana ia juga tidak sepatutnya berlaku di Negeri Johor. Daripada berita yang kami terima, perkara ini iaitu perkataan (kalimah suci) ini tidak sepatutnya berada di tempat tidak sesuai (stokin).
“Walaupun kami beragama Hindu, kami amat tidak bersetuju dan tidak akan sesekali menyokong apa-apa perkataan yang tertulis itu, apatah lagi untuk umat Islam. Kami sendiri walaupun dari agama Hindu, kami tidak boleh terima kerana ia satu isu sensitif agama,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di kuil berkenaan yang berusia lebih 100 tahun.
Berkaitan isu tidak bertanggungjawab itu, Raja Selan berkata, pihaknya pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan sewajar dan sekeras-kerasnya supaya kejadian seumpama ini tidak akan berulang lagi di Malaysia, khususnya di Johor.
“Kita di Johor ini sepatutnya saling hormat menghormati semua bangsa dan agama yang berada di negeri ini. Kami berharap peristiwa ini akan menjadi satu pengajaran untuk semua masyarakat khasnya komuniti bisnes untuk tidak ‘menunggang agama’ bagi membuat atau melariskan perniagaan (dengan cara tidak bertanggungjawab).
“Saya selaku Presiden Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam dan barisan pengurusan dengan sekeras-kerasnya menentang, menolak peristiwa di mana kalimah Allah dalam stokin ini yang langsung tidak boleh diterima (walau apa jua alasannya),” katanya.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor