PENCEMARAN PUNCA RIBUAN IKAN MATI DI KULAI


Ikan yang ditemui mati di tasik Taman Matahari, Bandar Indahpura, Kulai.

 

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor bertindak proaktif dengan melakukan siasatan terhadap kejadian ribuan ikan ditemui mati di tasik Taman Matahari, Bandar Indahpura, Kulai, dipercayai berpunca daripada sebuah Loji Rawatan Kumbahan (STP) berdekatan.

 

Hasil siasatan awal yang dilakukan susulan aduan awam yang diterima JAS Negeri Johor telah menemukan efluen kelihatan hitam di dalam longkang loji terbabit selain mendapati sistem rawatan komponen fasiliti itu yang mengalami kerosakan dan gagal berfungsi dengan baik.

 

YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengesahkan Unit Penguatkuasaan Industri JAS Johor bersama pihak Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menerusi Bahagian Lesen dan Kesihatan serta Bahagian Kejuruteraan sudah mengambil tindakan lanjut ke atas loji terbabit.

 

Satu arahan lapangan dan notis arahan juga dikeluarkan kepada loji berkenaan bagi menghentikan pencemaran dan membaik pulih sistem STP dengan serta-merta selain pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap keadaan air tasik Taman Matahari.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor