PENGHORMATAN TERAKHIR DUA ANGGOTA POLIS TERKORBAN


Penghormatan terakhir untuk dua jenazah anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram iatu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said selesai disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, tengah hari tadi.

 

Solat jenazah berkenaan dipimpin oleh Sahibul Fadilah Mohd Nazri Ali, Imam Daerah Johor Bahru dan turut disertai oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri dan YDH Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Negara.

 

Kira-kira 500 pegawai dan anggota PDRM serta keluarga dan kenalan mangsa hadir di masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua jenazah tersebut.

 

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada dua anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, semalam.

 

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di masjid berkenaan pada jam 11.40 pagi dan turut berkenan meluangkan masa kira-kira 10 minit bagi menyantuni ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam tragedi itu.

 

Hadir sama, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan isteri YDH Puan Sri Datin Dr. Hajah Noor Azizah binti Abdul Latif dan YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).

 

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa ketenteraman serta keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan selain menyeru masyarakat menghentikan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

 

Selain menzahirkan rasa simpati ke atas keluarga mangsa, Kerajaan Persekutuan turut memberi komitmen untuk menjaga kebajikan ahli keluarga anggota polis yang terkorban itu dengan sewajarnya.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor