PENGUAT KUASA PBT DI JOHOR BAKAL DILENGKAPI KAMERA BADAN


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata penggunaan teknologi itu akan dimulakan oleh empat PBT di bandaraya Johor Bahru. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Negeri Johor bakal melancarkan inisiatif penggunaan teknologi kamera badan bagi setiap anggota penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertugas di lapangan masing-masing.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata penggunaan teknologi itu akan dimulakan oleh empat PBT di bandaraya Johor Bahru.

 

“Kita akan buat bengkel bagi tujuan penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) terlebih dahulu dengan melibatkan 16 PBT di Negeri Johor. Selepas itu, kita akan adakan pelancaran kecil bagi inisiatif ini pada Oktober depan.

 

“Kemudian, penggunaan teknologi ini akan dipelopori oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Sungai Tebrau (MBJB) 2035 di sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru, Miswan Yunus dan Pengarah PLANMalaysia@Johor, TPr. Saidin Lateh.

 

Tambah Jafni, penggunaan teknologi kamera badan boleh membantu penguat kuasa di lapangan untuk menjalankan tugas dengan telus.

 

“Akan datang, kita (penguat kuasa) tidak perlu merakam menggunakan telefon bimbit lagi, sebaliknya kamera badan itu akan mempunyai pautan yang pintar (sistemnya sendiri),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor