JAWATANKUASA KHAS DIBENTUK PERHALUSI PEMBINAAN HSA 2


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memperhalusi cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) di atas tanah milik kegunaan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

 

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mengadakan pertemuan dan pembincangan bersama Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.

 

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad atas bantuan dan kerjasama yang baik diberikan menerusi perbincangan mengenai cadangan pembinaan hospital baharu itu.

 

“Pembinaan HSA2 amat penting, kerana ianya mampu mengurangkan kebergantungan serta kesesakan di Hospital Sultanah Aminah sedia ada.

 

“Pelbagai perkara telah dipersetujui, dan satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memperhalusi cadangan ini dengan lebih lanjut agar dapat merangka pelan yang tersusun,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Khamis.

 

Selain itu, Onn Hafiz berkata, isu hal ehwal keselamatan dan pertahanan Johor yang disifatkan sebagai amat mustahak terutamanya melibatkan sempadan negeri juga dibincangkan secara bersama.

 

“Semoga usaha sama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan memberi impak positif kepada kualiti hidup Bangsa Johor, seterusnya mampu mengangkat Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang maju,” katanya.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Dato’ Ashari Kasnan serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor