KERAJAAN NEGERI RANCANG TUBUHKAN TIGA JAWATANKUASA MEMPERKASA GOLONGAN RENTAN


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ) mengenai perancangan inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasakan golongan rentan. | Foto Ihsan FB Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor merancang untuk menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memperkasakan golongan rentan di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata perancangan itu merangkumi penubuhan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Johor, Majlis Tindakan Warga Emas Negeri Johor dan Majlis Kebajikan Kanak-kanak Negeri Johor.

 

Katanya, penubuhan ketiga-tiga jawatankuasa itu berdasarkan kepada dasar-dasar dan pelan tindakan sedia ada di peringkat Persekutuan.

 

“Antara yang dibahaskan dalam perbincangan hari ini adalah tentang pelan perancangan penubuhan Majlis Tindakan OKU Negeri Johor, Majlis Tindakan Warga Emas Negeri Johor dan juga Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Negeri Johor berdasarkan dasar-dasar dan pelan tindakan yang sedia ada di peringkat persekutuan,” katanya di Facebook rasminya, pada Rabu.

 

Perkara itu dikongsikan Khairin-Nisa selepas mengadakan perbincangan bersama Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ), Muzairiah Bajuri mengenai perancangan inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkasakan golongan rentan.

 

Hadir sama ke perbincangan itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas JKMNJ, Noor Lela Saad.

 

Tambah Khairin-Nisa, beliau berharap menerusi usaha tersebut ianya akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mesra golongan OKU, Warga Emas dan Kanak-kanak.

 

“Semoga usaha dan inisiatif yang telah dibincangkan hari ini dapat dijalankan dengan kerjasama dari semua pihak yang berkaitan dan terlibat sama supaya negeri Johor mampu menjadi teladan kepada kerajaan tempatan lain dalam menjadikan negara kita mesra golongan rentan OKU, Warga Emas dan Kanak-kanak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor