PENGUATKUASAAN SISTEM VEP LANCAR ALIRAN TRAFIK DI PINTU SEMPADAN


YB Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan mengadakan lawatan bagi melihat sendiri operasi pusat pengumpulan VEP di Danga Bay, Jalan Skudai, hari ini. Hadir sama YBhg, Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). | Foto MDJ Bayu Wira


Keputusan Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Permohonan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing menggunakan pintu sempadan negara di negeri ini membabitkan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) menerima respons positif dari pengembara Singapura.

 

Sistem yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Oktober disifatkan baik dan progresif oleh warga Singapura, David Tan, 65, dalam memastikan kenderaan asing mematuhi undang-undang jalan raya di Malaysia serta membantunya menyedari sekiranya terdapat saman yang perlu diselesaikan.

 

David yang berulang alik ke Malaysia setiap minggu bagi menguruskan perniagaannya di Johor Bahru dan Kuala Lumpur turut merakamkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan atas usaha berterusan bagi mengurangkan kesesakan di kedua-dua pintu sempadan.

 

Dilengkapi Teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), sistem tag VEP yang mengintegrasikan sistem pembayaran tanpa tunai itu dibangunkan oleh syarikat operator lebuh raya Touch ‘n Go bertujuan melancarkan proses kemasukan sejak dibangunkan pada 2019.

 

Di samping itu, Kerajaan Persekutuan menjangkakan jumlah permohonan pemasangan sistem VEP akan meningkat sehingga 200,000 permohonan menjelang Oktober ini berikutan hampir 120,000 kenderaan Singapura berulang alik ke Malaysia menggunakan pintu sempadan negeri ini.

 

Justeru, jumlah petugas untuk mengurus pertanyaan dan pemasangan di pusat pengumpulan VEP Johor Bahru akan ditambah bagi mempercepat proses melengkapkan pendaftaran dan permohonan kemudahan berkenaan selain melanjutkan waktu operasi premis berkenaan.

 

Terdahulu, YB Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan mengadakan lawatan bagi melihat sendiri operasi pusat pengumpulan VEP di Danga Bay, Jalan Skudai, hari ini. Hadir sama YBhg, Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor