PERKEMBANGAN COVID-19 TERUS DIPANTAU : EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon meminta orang ramai mendapatkan dos penggalak vaksin sebagai langkah berjaga-jaga. | Foto arkib MDJ.

 

Kerajaan Johor bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terus memantau perkembangan jangkitan COVID-19 di negeri ini, serta memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan pola pelaporan COVID-19 untuk Negeri Johor dalam tempoh beberapa bulan ini, menunjukkan peningkatan mendadak seperti berlaku di seluruh dunia termasuk beberapa negara jiran.

 

Sehingga 16 Disember lalu, secara kumulatif terdapat 401,886 kes dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, 398,803 merupakan jangkitan tempatan manakala baki iaitu 3,083 adalah kes import. Selain itu, jumlah kes masih dalam rawatan di hospital adalah 103 kes dan tiga kes dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

 

Orang ramai digalakkan terus memakai pelitup muka, elakkan 3S (sesak, sempit dan sembang jarak dekat), amalkan 3W (wash, wear, warn) dan TRIIS (test, report, inform, isolate, seek) serta mendapatkan dos penggalak vaksin dan informasi terkini daripada portal KKMNOW atau MySejahtera.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor