PERSIAPAN KITA LEBIH BAIK – TMJ


DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah, mengakui pasukan lain turut memberikan tentangan sengit kepada JDT dalam saingan liga. | Foto ihsan JOHOR Southern Tigers

 

ISKANDAR PUTERI — Persiapan rapi berserta strategi tersendiri yang ampuh menjadi ‘kunci kejayaan’ buat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar rekod tanpa kalah selepas mengharungi 16 perlawanan Liga Super 2023.

 

DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah, mengakui pasukan lain turut memberikan tentangan sengit kepada JDT dalam saingan liga.

 

“Dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku. Kita boleh kalah, kita boleh menang.

 

“Tetapi, mungkin persiapan kita lebih baik daripada pasukan lain, kualiti pemain yang kita ada dan juga corak permainan,” titah baginda menerusi siaran video dalam Facebook JOHOR Southern Tigers, pada Khamis.

 

Pemilik JDT itu bertitah, program pembangunan kelab juga menampakkan hasil selepas pemain seperti Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Adam Farhan kini menyerlah di dalam skuad utama.

 

“Apa yang kami di dalam program pembangunan dah mula membuahkan hasil. Mungkin tahun depan juga kita akan menandatangani satu atau dua pemain tempatan.

 

“Tetapi, saya rasa lebih ramai pemain dari JDT II dan JDT III yang akan diserap ke dalam pasukan utama,” titah Tunku Ismail.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor