HANYA LIMA DOKUMEN MOHON RMMJ – EXCO PERUMAHAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, pembeli kini hanya perlu menyediakan hanya lima dokumen sahaja berbanding 17 sebelum ini. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri komited mempermudahkan urusan rakyat bagi mendapatkan kediaman impian khususnya Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, pembeli kini hanya perlu menyediakan hanya lima dokumen sahaja berbanding 17 sebelum ini.

 

“Nak lengkapkan 17 dokumen ini, kosnya kira-kira RM300 hingga RM500 untuk satu permohonan. Jadi, kita telah berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dan akhirnya hanya lima dokumen sahaja yang diperlukan untuk permohonan RMMJ yang bernilai RM150,000 ke bawah.

 

“Tiada kos yang perlu dikeluarkan kerana kelima-lima dokumen yang diperlukan hanya perlu dihantar secara atas talian menerusi sistem e-perumahan di eRumah. Dalam sistem ini ada tawaran dan iklan-iklan rumah, mereka isi dan mohon, secara automatik mereka dah dikira berdaftar.

 

“Jadi, orang dari Tangkak, Pontian, Mersing, Kulai, dan daerah lain dah tak perlu datang ke PKPJ. Mereka boleh buat secara atas talian, tak perlu keluarkan kos,” katanya ketika dalam temubual eksklusif bersama Media Digital Johor.

 

Mohd Jafni berkata, sistem tersebut juga akan memberi peringatan atau ‘notification’ kepada pembeli bagi sesi cabutan undi RMMJ.

 

Selain itu, beliau memberitahu semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Johor sudah dimaklumkan agar pemaju yang gagal membina rumah mampu milik tidak akan diberikan Kebenaran Merancang (KM).

 

“Menerusi Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Reka Bentuk (PDRC), kita akan berbincang secara situasi menang-menang dengan pemaju jika dia nak bina rumah mewah, mereka juga perlu bina rumah mampu milik.

 

“Alhamdulillah, PDRC berjaya mengikat pemaju untuk mereka buat rumah mampu milik dan pasaran bebas, tetapi 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pembangunan mestilah rumah berharga RM150,000 ke bawah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor